Tiba hari yang dinanti iaitu tanggal 21 Julai 2017 aku pun menghantar anak-anak beserta barang mereka ke rumah ayahbondaku yang tinggal berdekatan sahaja. Selepas solat maghrib aku dan suami pun berangkat ke Komplek Tabung Haji di Kelana Jaya dengan dihantar oleh adikku Amy dan suaminya kerana didalam surat makluman TH menyatakan kami perlu berada di Kompleks TH pada jam 11 malam. Anak-anak tidak ikut serta kerana bimbang terlalu sesak orang di Kelana Jaya. Di Kelana Jaya turut sama telah menanti di sana adikku Lora sekeluarga, abangku As dan isterinya serta kakak iparku Kak Jah dan suaminya.
Namun apabila sampai di Kelana Jaya, kegembiraan dan debaran bertukar menjadi keliru apabila tiba-tiba suamiku mendapat panggilan dari HQ Tabung Haji menyatakan kami suami isteri tidak boleh berangkat malam ini kerana masih tiada visa. Perasaanku bercampur baur tidak dapat menerima berita apakah ini? Bukankah sepatutnya tiket kapal terbang ditempah berdasarkan visa? Kami semua jadi 'blur' apakah yang perlu dibuat seterusnya? Apakah perlu balik rumah kami di Seremban tetapi bila pula kami akan berangkat? Sungguh kelam kabut pada masa tu. Mujur kak Jah iaitu kakak ipar ku yang telah mengerjakan haji beberapa tahun dulu tenang dan beliau telah pergi ke kaunter untuk bertanyakan adakah disediakan tempat tidur bagi jemaah yang tidak boleh berangkat malam ini. Syukur kami dimaklumkan boleh bermalam di hotel TH Kelana Jaya tersebut kerana masih ada kekosongan. Maka adik-adikku dan kakak ipar sekeluarga pulang meninggalkan kami di Kelana Jaya kerana telah lewat malam. Kami pun meninggalkan ruangan menunggu yang sesak di bawah masuk ke bilik hotel yang disediakan. Tetapi bilik kami suami isteri berasingan iaitu bilik jemaah lelaki dan jemaah wanita.
Sesampai di bilik hotel aku lihat di dalamnya terdapat 5 katil, sepatutnya bilik berdua tapi ditambah lagi 3 katil tambahan. Disebabkan telah tengah malam aku tiba dibilik maka semua ahli bilik yang ada telah tidur. Aku pun masuk dengan senyap terus ke katil, solat dan tidur. Sepanjang malam kedengaran pengumuman dari lobi memanggil nama-nama jemaah haji. Aku pun terus tidur.
Esok paginya selesai solat subuh aku berkenalan dengan ahli bilik yang lain. Aku lupa nama mereka kerana hanya 2 malam tinggal bersama kecuali yang lagi 2 orang kerana kami sama satu bilik semasa di Mekah iaitu Azira dan Makcik Normah. Azira, Makcik Normah dan seorang lagi jemaah sama seperti aku sepatutnya berangkat ke Madinah malam tersebut tetapi juga diberitahu tiada visa. Seorang lagi jemaah menyatakan telah 4 malam tinggal di situ. Oh... bertambah risau aku, adakah aku pun akan bermalam-malam harus tinggal di hotel menunggu visa? Selepas berbual-bual barulah aku tahu nama-nama yang dipanggil pada malam tadi ialah nama jemaah yang sudah boleh berangkat kerana telah selesai masalah visa. Aku pun tak tahu kenapa ada masalah visa sedangkan semuanya telah lengkap. Setakat yang aku dengar-dengar namun tidak ada kesahihannya, timbul masalah visa kerana tahun ini pihak Arab Saudi sepenuhnya menguruskan pemberian visa tanpa dibantu petugas TH seperti sebelumnya, dan mereka telah membuka semua ikatan pasport yang pihak TH telah siapkan mengikut mahram masing-masing. Maka apabila mereka tak jumpa mahram maka tak buat visa.
Sepanjang kami tinggal di TH hotel segala kemudahan adalah ditanggung baik penginapan mahupun makanan. Alhamdulillah. Bersyukur juga kami dapat bilik hotel kerana jemaah yang kemudian dikhabarkan hanya diberikan tempat tidur di dalam khemah besar yang khas disediakan ditepi bangunan hotel kerana bilik hotel tidak mencukupi. Sempat juga saya dan suami mendobi baju di pusat dobi layan diri kerana kami hanya menggunakan pakaian yang kami simpan di dalam beg hand carry sahaja, tidak mahu mengkucar kacir kan barang di dalam beg besar.
Petang hari kedua kami semak nama jemaah yang telah mendapat visa di pejabat kecil operasi di tingkat bawah hotel. Nama ahli sebilik semua ada dalam senarai tetapi nama kami masih tiada. Namun aku dan suami tidak berputus asa, selepas solat isyak lebih kurang pukul 10 malam kami ke bilik operasi TH lagi untuk menyemak nama, Alhamdulillah nama kai ada dalam senarai untuk bertolak malam tersebut. Sungguh kelam kabut kami mengemas barang kerana kami harus bersedia menunggu di lobi jam 12 malam. Menambahkan lagi kelam kabut, suami ku perlu membuka beg besar yang ditinggalkan di lobi sahajan untuk mengambil kain ihram kerana penerbangan yang terkini kami dapat akan masuk ke Makkah terus sedangkan ikut surat yang kami terima tempoh hari kami masuk Madinah dahulu. Dalam keadaan kelam kabut kerana agak gementar untuk penerbangan, kunci beg besar suami ku pula stuck tak boleh buka, terpaksalah ketuk dan pecahkan kuncinya.
Pada malamnya, kami sedia menunggu di lobi menunggu nama dipanggil untuk menaiki bas. Lagi sekali masalah timbul, kami semua sebilik tiada pasport pulak katanya pasport masih di HQ. Aduh sedihnya, namun kami tidak putus asa terus berdoa agar petugas di HQ sempat tiba di komplek TH untuk menghantar pasport kami sebelum penerbangan. Tetapi suami kepada seorang makcik sebilik kami telah berputus asa dan terus mengajak isterinya naik bilik semula. Akhirnya, nama aku dan suami dipanggil dengan gembiranya aku dan suami bergegas menarik beg pergi menaiki bas. Dan kami dapat berita selepas itu, makcik dan suaminya yang telah putus asa itu memang terkandas lagi sehari.
Kesemua 10 buah bas mula bergerak pada pukul 4 pagi. Sepanjang perjalanan di dalam bas kami bersyukur teramat sangat. Tambahan pula terasa seperti VIP kerana 10 buah bas yang bergerak membawa jemaah malam itu di escort oleh polis trafik yang mana akan menahan kenderaan lain dari melalui haluan bas jemaah untuk ke KLIA. Kami menaiki kapal terbang sebelum waktu subuh maka kami aku dn suami bersiap sedia mengambil wuduk sebelum menaiki kapal terbang untuk soalat subuh di dalam kapal nanti walaupun semasa kursus dimaklumkan kami boleh solat hormat waktu. Tetapi bagi kami, jika menuju ke Makkah bermakna kami memang sudah menghadap kiblat maka boleh lah kami solat duduk dengan menghadap kiblat.
No comments:
Post a Comment